Transcription
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Selamat datang ke kuliah kursus integriti dan antirasuah ataupun Kia untuk minggu ini. Kita akan menyentuh topik yang keempat, iaitu agensi pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti.
Fokus topik ini adalah untuk kita mengenali agensi-agensi yang terlibat dalam pencegahan rasuah, pemerkasaan integriti, dan juga termasuklah penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia. Agensi peneraju dalam usaha pencegahan rasuah adalah SPRM, ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Dan ini adalah bangunan Ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Ini adalah garis masa pembentukan agensi-agensi yang terlibat dalam pencegahan rasuah di Malaysia. Bermula tahun 1959, ada tiga unit yang terlibat dalam membasmi kegiatan rasuah, iaitu Unit Pencegahan Rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri, Criminal Investigation Department di bawah PDRM, dan Bahagian Pendakwaan yang menjalankan tugas mendakwa pesalah rasuah.
Pada tahun 1997, telah ditubuhkan satu badan yang dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, yang mana ini adalah badan agensi khusus untuk menangani rasuah. Masuk tahun 1973, telah ditubuhkan Biro Siasatan Negara melalui Akta Biro Siasatan Negara 1973. Dan pada tahun 1982, BPR telah diperkasakan melalui Akta Badan Pencegah Rasuah 1982. Pada tahun 1997, BPR telah diperkasakan lagi melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997. Pada tahun 2009, BPR telah diperkasakan lagi dan ditransformasikan melalui satu nama baharu, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melalui Akta SPRM 2009.
Usaha untuk memerangi rasuah terus diperkasakan dengan penubuhan 16 buah Ibu pejabat SPRM di setiap negeri dan juga 21 cawangan di daerah-daerah yang terpilih. Kalau kita lihat, ada SPRM Perlis, SPRM Kedah, ada dua cawangan di Kedah, cawangan Langkawi, cawangan Sungai Petani. Di Pulau Pinang, ada cawangan Seberang Perai. SPRM Perak, ada cawangan di Teluk Intan dan juga Taiping. Di SPRM Wilayah Persekutuan, SPRM Selangor, yang mana cawangannya di Kuala Selangor. SPRM Negeri Sembilan, yang mana cawangannya di Port Dickson. SPRM Melaka, SPRM Johor dengan tiga cawangan, Batu Pahat, Kluang, Segamat. SPRM Putrajaya sebagai headquarters. SPRM Pahang, di mana cawangan di Raub dan juga di Jerantut. SPRM Terengganu, cawangannya di Kemaman dan juga SPRM Kelantan. Manakala di Sarawak, ada empat buah cawangan, iaitu SPRM cawangan Sibu, Miri, Bintulu, dan juga Limbang. Manakala Labuan, ada sebuah Ibu pejabat di Wilayah Persekutuan Labuan. Dan juga di Sabah, di Sabah ada empat juga cawangan, iaitu di Sandakan, Tawau, Keningau, dan juga Lahad Datu.
Penubuhan Ibu pejabat SPRM di setiap negeri dan juga di cawangan-cawangannya menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi.
Untuk makluman para pelajar sekalian, SPRM tidak berdiri sendiri. Bahkan SPRM dipantau oleh lima badan pemantau bebas, yang mana mereka ini akan menyemak dan juga memantau aktiviti yang dilakukan oleh SPRM. Lima badan tersebut ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah atau disebut JKMr. Yang kedua, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah ataupun LPPR. Yang ketiga, Jawatankuasa Aduan JKa. Yang keempat, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah atau PPPR. Dan yang terakhir, Panel Penilaian Operasi atau PPO.
Badan pertama ditubuhkan untuk memantau SPRM ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, yang mana lembaga ini ditubuhkan melalui Seksyen 13 Akta SPRM. Dan peranan LPPR ini ialah menasihati SPRM mengenai dasar dan strategi, serta meneliti dan memperakukan cadangan SPRM untuk meningkatkan keberkesanannya.
Badan yang kedua ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, yang ditubuhkan melalui Akta SPRM Seksyen 14. Yang mana badan ini dianggotai oleh tujuh orang ahli. Mereka adalah ahli Dewan Negara dan juga Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan juga parti pembangkang. Dan fungsi JKMr ini ialah untuk menasihati Perdana Menteri berhubung masalah rasuah di Malaysia. Mereka juga berperanan memeriksa dan mendapatkan penjelasan SPRM berhubung aktiviti yang dijalankannya.
Badan ketiga yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Aduan melalui Seksyen 15 Akta SPRM. Yang mana keanggotaannya tidak melebihi lima orang ahli. Dan peranan jawatankuasa ini ialah memantau SPRM dalam mengendalikan aduan mengenai salah laku pegawai-pegawainya. Yang keduanya, mengenal pasti kelemahan dalam proses, prosedur, tatacara kerja, dan seterusnya membuat penambahbaikan.
Badan keempat yang ditubuhkan ialah Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Yang mana ditubuhkan secara pentadbiran, bukan melalui Akta SPRM. Fungsi PPPR ini adalah mereka memberikan nasihat kepada SPRM dari sudut aktiviti pemeriksaan dan perundingan berhubung amalan sistem, tatacara kerja di agensi awam dan swasta. Dan yang keduanya, pelaksanaan aktiviti pendidikan masyarakat atau kempen bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan masyarakat.
Badan yang terakhir ialah Panel Penilaian Operasi. Yang mana panel ini juga dilantik secara pentadbiran. Dan peranan PPO ini adalah untuk memantau dan memeriksa kertas siasatan serta keputusan yang dibuat oleh timbalan pendakwa raya. Mereka juga berperanan untuk menasihati dan memperakukan langkah-langkah untuk mempertingkatkan kualiti siasatan SPRM.
Berikut adalah empat fungsi SPRM. Yang pertama, SPRM menerima aduan kes rasuah dan salahguna kedudukan. Fungsi kedua ialah apabila ada aduan yang dibawa oleh pengadu, maka SPRM akan menjalankan siasatan. Yang ketiga, SPRM akan menyediakan khidmat perundingan dan nasihat untuk menambah baik sistem, prosedur, dan tatacara yang lemah. Dan yang keempat, SPRM juga berfungsi untuk mendidik dan mendapatkan sokongan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah.
Berikut adalah proses atau prosedur bagaimana sesuatu kes berkaitan salah laku atau rasuah itu diuruskan. Yang pertama ialah apabila ada aduan atau maklumat daripada orang awam berkaitan salah laku ataupun rasuah, maka pihak SPRM akan membuka kertas siasatan dan mereka akan menyiasat sehinggalah didapati ada prima facie kes. Maka akan diserahkan seterusnya kepada pihak pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara. Pihak pendakwa raya setelah meneliti kes-kes, setelah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh SPRM dan didapati ada prima facie kes ataupun ada merit dalam kes ini, maka mereka akan memulakan pendakwaan. Dan setelah kertas pendakwaan itu siap, maka akan dibuat pendakwaan di Mahkamah. Dan Mahkamah akan mengadili, sama ada orang yang dituduh itu atau orang yang disyaki itu bersalah atau tidak.
Setelah kita mengetahui tentang apa itu SPRM, apa asas penubuhannya, apa fungsi dan bidang tugasannya, maka kita lihat apakah strategi-strategi yang dimainkan oleh SPRM bagi tujuan mencegah amalan rasuah. Terdapat tiga strategi yang diambil oleh SPRM untuk mencegah amalan rasuah. Yang pertama ialah melalui penguatkuasaan undang-undang. Yang kedua, melalui langkah-langkah pencegahan. Dan yang ketiga, melalui pendidikan kepada orang awam.
Strategi pertama ialah penguatkuasaan. Yang mana SPRM akan mengesan dan menyiasat segala aduan atau maklumat berkaitan kesalahan rasuah. Setelah siasatan selesai, maka pihak SPRM akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk mendakwa pesalah-pesalah ini di Mahkamah. Antara kes yang terbesar dan tersohor yang telah dikendalikan oleh pihak SPRM ialah kes berkaitan skandal 1MDB dan SRC International. Begitu juga skandal air di Sabah, yang mana telah diadakan satu operasi khas yang dipanggil Ops Water, dilakukan pada Oktober 2016, melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah, yang mana keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM214 juta.
Strategi kedua yang diambil oleh pihak SPRM ialah melaksanakan usaha-usaha untuk mencegah. Antaranya ialah mengesan risiko rasuah dalam amalan sistem dan juga prosedur, dan juga memberikan khidmat nasihat untuk menutup ruang dan peluang melakukan rasuah. Antara usaha pencegahan yang dilakukan oleh pihak SPRM ialah turut sama terlibat dalam pengurusan skim penstabilan harga minyak masak oleh KPDNHEP. SPRM juga turut terlibat dalam memberi khidmat nasihat berhubung sistem dan prosedur kerja berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highland. Selain itu, SPRM juga turut memberi khidmat nasihat kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhubung pengagihan bantuan khas perumahan untuk nelayan pada tahun 2012.
Strategi ketiga yang diambil oleh pihak SPRM ialah mendidik masyarakat. Yang mana SPRM menjalankan tanggungjawab mendidik orang ramai agar menentang rasuah dan mendapatkan sokongan orang ramai untuk memerangi gejala rasuah. Setakat ini, SPRM telah menjalankan lebih 2000 sesi ceramah yang melibatkan hampir 12,000 orang audiens. Dan turut mengadakan 700 program seminar, runding cara, meja bulat, program turun padang, dan juga 350 pameran kepada masyarakat. SPRM juga turut menerajui sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut pada setiap 9 Disember pada setiap tahun.
Manakala di peringkat institusi pengajian tinggi ataupun IPT, SPRM menggalakkan penubuhan Angkatan Mahasiswa Antirasuah ataupun dikenali sebagai AMAR. Yang mana AMAR ini telah ditubuhkan di 20 buah universiti awam, 27 institut pendidikan guru, 56 di IPT di bawah MARA, dan 14 IPT swasta. Selain penubuhan AMAR, SPRM turut terlibat secara aktif dalam penawaran kursus integriti dan antirasuah ataupun disebut sebagai Kia. Yang mana perkara ini telah diputuskan dalam Jawatankuasa JKKMAR pada 19 April 2021, yang mana mengarahkan semua IPT agar menawarkan Kia sebagai kursus elektif bermula 2021 dan akhirnya dijadikan sebagai kursus wajib pada tahun 2020.
Di peringkat pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah, SPRM turut memasukkan elemen antirasuah dalam buku teks sekolah. Kalau kita lihat bermula daripada Darjah Enam, Tingkatan Satu, Tingkatan Dua, Darjah Tiga, Darjah Empat dan Lima, telah ada kandungan-kandungan berkaitan antirasuah di dalam buku teks untuk pelajar-pelajar di sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Bermula tahun 2014, SPRM turut memperkenalkan satu program khas yang dipanggil Wira Antirasuah. Yang mana program ini melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Dan turut terlibat adalah guru dan juga ibu bapa. Di sesetengah sekolah, diwujudkan Kios Jujur ataupun Kedai Jujur. Yang mana ini adalah inisiatif antara SPRM dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia. Tujuannya adalah untuk mendidik amalan integriti dan keusahawanan yang beretika dalam kalangan murid secara praktikal.
Selain menggunakan institusi pendidikan sebagai medium untuk penyebaran kempen-kempen antirasuah, SPRM turut menggunakan media elektronik, media cetak, media sosial, dan juga lain-lain media. SPRM turut menubuhkan radio agensi penguatkuasa yang pertama yang dikenali sebagai MAC FM, yang dilancarkan pada bulan Disember 2015 sempena Hari Antirasuah Antarabangsa. Bagi menarik golongan muda, yang mana mereka ini merupakan golongan yang mudah terjebak dalam aktiviti rasuah, maka SPRM mengambil pendekatan menganjurkan beberapa pertandingan berasaskan games yang terkenal, antaranya FIFA 21 Challenge, PUBG, dan sebagainya, dengan menjemput para peserta dari kalangan anak muda, termasuklah penonton, untuk mereka mengenali apa itu SPRM dan kempen-kempen yang mereka jalankan.
Baik para pelajar sekalian, selain daripada SPRM, kita ada lagi beberapa agensi lain yang mana mereka juga turut menyumbang dan memainkan peranan dalam meningkatkan integriti dan tadbir urus. Antaranya ialah Institut Integriti Malaysia ataupun IIM, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, dan juga Jabatan Audit Negara.
Agensi pertama iaitu Institut Integriti Malaysia, yang mana misi IIM ini ialah untuk meningkatkan kapasiti dan kompetensi sektor awam, GLC, dan korporat berkaitan governance, integriti, dan juga antirasuah. Dan mereka juga menyediakan penyelesaian kepada masalah governance, integriti, dan rasuah di Malaysia.
Yang kedua ialah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. Suruhanjaya ini telah ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009. Dan fungsi utama mereka adalah menerima aduan, menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguatkuasa atau agensi penguatkuasa, dan menyiasat serta mengadakan pendengaran perbicaraan berhubung dengan aduan yang diterima. Antara agensi penguatkuasa yang dipantau dan diselia oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ialah sebagaimana tertera, contohnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, AntiDadah Kebangsaan, dan seterusnya sampai kepada 20.
Yang terakhir ialah Jabatan Audit Negara. Yang mana Jabatan Audit Negara ini berfungsi untuk melaksanakan audit terhadap akaun kerajaan persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, pihak berkuasa awam, dan lain-lain. Ringkasnya, Jabatan Audit Negara ini adalah pemantau kepada sistem pengurusan kewangan bagi agensi kerajaan.
Untuk maklumat para pelajar sekalian, laporan yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan usulnya dibentangkan dalam Parlimen, dalam Dewan Undangan Negeri. Dan di dalam laporan inilah mengandungi laporan-laporan sama ada berbentuk laporan kelemahan, ketidakpatuhan, dan sebagainya. Dan biasanya melalui laporan inilah terdapat syor-syor atau cadangan-cadangan yang dikemukakan bagi tujuan mengatasi kelemahan dan juga untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
Sekian saja penjelasan dan kuliah berkaitan topik yang keempat. Mudah-mudahan para pelajar dapat memahami apa itu SPRM, bidang kuasanya, dan juga beberapa agensi yang mempunyai kaitan dalam usaha untuk meningkatkan integriti dan menghapuskan salah guna kuasa, termasuk rasuah. Sekian terima kasih. Assalamualaikum.